Thursday, November 7, 2013

Isu 2 "Berubah Bermula Dengan PERCAYA"

                
                 AlhamduliLlah, segala puji bagi Allah Ta'ala, Tuhan sekalian Alam, tiada sekutu bagi Allah dalam agama mahupun ideologi, tiada sekutu bagi Allah dalam pentadbiran agama dan diri, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Maha Suci Allah dari segala sifat cela dan perbuatan syirik hamba dan makhlukNya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, petunjuk dan cahaya seluruh Alam.

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang PERCAYA(beriman) kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Al-Isra’ 17:82) 

Penurunan Al-Quran merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW secara berperingkat melalui perantaraan Malaikat Jibril. Al-Quran adalah tanda kasih sayang Allah kepada umat manusia khususnya kepada para sahabat R.A. dan masyarakat Arab Jahiliah umumnya pada ketika itu. 

Para Sahabat R.A, disebut sebagai generasi Al-Quran kerana mereka ditarbiah dan dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW berdasarkan wahyu dan petunjuk daripada Al-Quran yang diturunkan secara berperingkat. Mereka mengalami pelbagai peristiwa yang menjadikan mereka generasi terbaik yang pernah dilahirkan di atas muka bumi.

Ayat-ayat Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW bertepatan dengan peristiwa yang sedang mereka alami. Bahkan terdapat begitu banyak ayat yang diturunkan khusus untuk para Sahabat.  Al-Quran mengandungi pelbagai kisah dan perintah untuk dijadikan pedoman supaya umat manusia selamat di dunia dan akhirat. Mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW ini dipelihara sehingga ke hari kiamat kerana ia mengandungi pelbagai khasiat dan kelebihan.

Namun, Allah Ta’ala terlebih dahulu mengehadkan bahawa mereka yang bakal beroleh manfaat daripada Al-Quran hanyalah mereka yang PERCAYA. Bermakna, kelebihan dan kehebatan Al-Quran tidak akan memberikan manfaat kepada mereka yang tidak percaya. 

                 Perubahan ke arah kebaikan memerlukan petunjuk yang benar iaitu Al-Quran dan Hadith. Sebab itu, tidak hairanlah ramai orientalis yang mengkaji mengenai Al-Quran tidak terkesan kerana sikap mereka yang enggan PERCAYA. Begitu juga dengan bacaan doa dan bacaan ketika solat dan ibadah lainnya, semuanya kurang memberikan kesan kepada perubahan dalam diri kerana kurangnya kePERCAYAan.

Suatu ketika dahulu, masyarakat eropah, mempercayai bahawa bumi ini rata. Maka mereka melarang anak cucu mereka daripada keluar belayar jauh dari daratan, kerana risau akan terjatuh ke ruang yang tidak dikenali. Mereka juga mendakwa terdapat pelayar-pelayar yang mengingkari larangan tersebut hilang dari muka bumi dan tidak lagi dapat kembali ke tanah air mereka.

Namun, seorang anak muda, Christopher Colombus mempunyai pendapat yang jauh bertentangan dengan apa yang didakwa oleh masyarakat pada ketika itu. Beliau percaya bahawa bumi ini berbentuk sfera, lalu mengambil keputusan untuk berlayar. Christopher Colombus belayar seawal umurnya 10 tahun, dan menjadi antara yang pertama di zamannya, membuktikan bahawa bumi ini berbentuk sfera. Inilah yang dikatakan perubahan itu bermula dengan percaya. Percaya mendorong kita untuk melakukan sesuatu perubahan.

Christopher Colombus didorong oleh kepercayaannya bahawa bumi ini sfera, lantas mendorongnya untuk belayar ke seluruh dunia. Dia meneroka bumi Amerika Utara dan Selatan, sehinggalah ke Lautan Hindi di Asia, dan perjalanan beliau diteruskan dengan penuh komitmen, paling penting bermula dengan PERCAYA.

Kisah Christopher Colombus hanyalah satu daripada jutaan kisah perubahan besar yang dimulakan dengan PERCAYA. Ayuhm sama-sama berubah kerana dan ke arahNya–Tamat-



Isu 2 "Kejora Antara Bintang -Saidina Umar"

Saidina Umar Al-Khattab

Nama Penuh:        Umar Bin Al-Khattab Bin Nufail Bin Abdul Uzza Al-Qurasyi

Sumbangan :         Menjadi Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua selepas   
dan jasa                    kewafatan Nabi SAW.

                                     Menawan wilayah Syam(Baitul Maqdis), Iraq, Persia(Iran), Mesir, Burqah (Nama                                            sebuah daerah di Libya), Tripoli, Azerbaijan, Nahawand, dan Jurjan.

                                   Orang pertama menetapkan tahun Hijrah sebagai Kalendar Islam.

                                   Orang pertama mengumpulkan orang dalam solat Terawih.

                                    Orang pertama yang mencetak mata wang dirham.

                                   Terdapat enam pendapat Saidina Omar yang dikuatkan dengan Nas Al-Quran,                                             antaranya menyarankan kepada Nabi Muhammad SAW agar tidak mensolatkan                                         jenazah orang munafiq, lalu turun ayat yang menyokong pendapat tersebut.

Gelaran: Al-Faruq (pemisah antara haq dan batil)

Kisah mengenai Beliau:

                Menjadi Khalifah kedua selepas Saidina Abu Bakar, Saidina Omar menjadi khalifah selama 10 tahun 6 bulan dan 4 hari. Dia berwajah tampan, tangan dan kakinya berotot, janggutnya lebat dan suka mewarnakannya dengan bahan pewarna Al-Hinna dan katam. Kepala depannya botak, tubuhnya tinggi besar, seolah dia sedang menunggang kerana terlampau tingginya, warna kulitnya coklat kemerah-merahan, tubuhnya tegap dan suaranya lantang.


           Nabi Muhammad SAW pernah mengatakan kepada Umar, “Demi jiwaku yang berada di genggamanNya, jika engkau (Umar) telah memilih untuk melalui satu jalan, maka pasti syaitan akan memilih untuk melalui jalan selain dari jalan itu,” (Hadith riwayat Al-Bukhari)

            Saidina Umar dikenali sebagai seorang yang cerdas dan paling tegas di kalangan pemuda Quraisy. Dialah satu-satunya Sahabat Nabi yang berhijrah secara terang-terangan.

           Ketika beliau hendak berhijrah, dengan penuh ketegasan dan keberanian, beliau mengatakan kepada orang-orang kafir musyrik, “Sesungguhnya aku akan berhijrah ke Yathrib, sesiapa yang ingin ibunya kehilangan anak, atau anaknya menjadi yatim, silalah menghalang aku dari berhijrah, maka esok, temui aku di belakang lembah ini.” Demikian kata-kata Saidina Umar yang benar-benar menggerunkan musuhnya.

Namun, disebalik ketegasan dan sikap lantangnya itu, Saidina Umar juga dikenali sebagai ahli Ibadah. Hati dan jiwanya mudah tersentuh, digambarkan oleh peristiwa ketika dia mula mendapat hidayah. Waktu itu, beliau sedang dalam perjalanan ingin membunuh Nabi Muhammad. Tiba-tiba dia diberitahu bahawa adiknya Fatimah telah memeluk Islam.

Beliau lantas menukar arahnya menuju ke rumah adiknya. Beliau menemui Khabab bin Art dan Sa’id – suami Fatimah sedang mengajar Fatimah membaca Al-Quran. Maka Umar terus memukul Fatimah. Namun, setelah Umar membaca awal surah Taha, hatinya tersentuh lalu pergi menemui Nabi Muhammad SAW di Darul Arqam untuk menyatakan keislamannya.

Seluruh umat Islam bergembira dengan keislaman Umar. Pada hari itu juga, Saidina Umar memimpin rombongan para Sahabat dan Nabi untuk mendirikan Solat secara terang-terangan di depan Ka’abah. Sebuah lagi rombongan dipimpin oleh Saidina Hamzah yang telah beriman sebelum Saidina Umar. –Tamat-

Isu 2 "SEJARAH PENGGALIAN SEMULA ZAMZAM”



SEJARAH PENGGALIAN SEMULA ZAMZAM”

                 Tradisi pembesar Mekah sejak turun-temurun ialah memberi minum kepada para jemaah Haji.  Namun, sejak Mekah dirampas oleh suku Khuzaah dan sejak Amru Bin Lu’ayy membawa masuk agama syirik ke Mekah, telaga tersebut tidak dipelihara sehingga sudah tidak diketemui lagi.

                 Setelah Mekah kembali dikuasai oleh keturunan Nabi Ismail A.S. iaitu Qusai Bin Kilab, tradisi ini diteruskan lagi, namun mereka terpaksa mengambil air dari luar Kota Mekah. Setelah kematian Qusai Bin Kilab tanggungjawab memimpin Mekah diambil oleh generasi keturunan beliau. Syaibah Bin Hasyim bin Abdul Manaf Bin Qusai adalah salah seorang keturunan Nabi Ismail yang mewarisi pemerintahan Kota Mekah.

Syaibah adalah anak Hasyim daripada isterinya yang bernama Ummu Hasyim, seorang wanita bangsawan di kalangan kaumnya yang tinggal di luar Mekah, Umur Hasyim tidak panjang, Syaibah kehilangan ayahnya sejak dia kecil. Setelah Syaibah meningkat remaja, bapa saudaranya Muttalib membawanya untuk tinggal di Mekah.

“Syaibah ini daripada keturunan Qusai Bin Kilab. Dia adalah pemimpin Quraisy. Tidak sepatutnya dia tinggal di luar Mekah,” kata Muttalib kepada Ummu Hasyim yang pada awalnya enggan melepaskan Syaibah.

Apabila tiba di Mekah, orang ramai menyangka bahawa Syaibah merupakan hamba baru yang dibeli oleh Muttalib, lalu menggelarnya Hamba Muttalib atau Abdul Mutalib dalam Bahasa Arab. Akhirnya nama ini menjadi masyhur. Dialah Abdul Muttalib datuk Nabi Muhammad SAW. Nama sebenarnya Syaibah.

Ibnu Ishaq meriwayatkan daripada Saidina Ali K.W. ada orang datang ke dalam mimpi Abdul Muttalib dan menyuruhnya menggali Al-Tibah. Apabila Abdul Muttalib bertanya, “Apakah Al-Tibah itu?” Tetapi suara itu telah hilang.


 Keesokan malamnya, dia bermimpi lagi. Kali ini suara itu menyuruhnya menggali barrah. Lalu Abdul Muttalib bertanya, “apakah barrah itu?” suara itu hilang lagi. Abdul Muttalib merasakan seperti ada sesuatu yang penting kerana dia tidak pernah mengalami mimpi seperti itu sebelum ini.
                 Malam ketiga, dia didatangi mimpi yang sama, namun kali ini menyuruhnya menggali madhmunah. Apabila ditanya apakah itu madhmunah, suara itu hilang lagi. Perasaan Abdul Muttalib semakin kuat.

Hinggalah pada malam keempat, suara itu berkata, “Galilah zamzam.” Lalu Abdul Muttalib menjawab, “di manakah zamzam?”

Kali ini suara itu menjawab, “Ia tidak akan kering selama-lamanya dan tidak akan berkurang, ia akan memberi minum kepada para jemaah haji tetamu Allah Yang Maha Agung, ia berada di antara perut dan darah, di sisi patukan gagak hitam yang ada bulu putih, di rumah kampong semut.”

Yakinlah hati Abdul Muttalib bahawa dia diperintahkan untuk menggali telaga zamzam. Zamzam memang tidak asing bagi masyarakat Mekah. Apatah lagi bagi Abdul Muttalib yang telah diangkat menjadi Ketua Mekah pada ketika itu. Namun, oleh kerana sudah agak lama zamzam ditimbus, masyarakat sendiri sudah tidak tahu di manakah kedudukan telaga zamzam. Tambahan keadaan di sekeliling Kaabah agak mustahil untuk dilakukan usaha menggali.

Esoknya juga, Abdul Muttalib mengajak anaknya Harith, membantunya menggali zamzam. Harith diperintahkan untuk berhadapan dengan pemuka Quraisy dan mempertahankan bapanya sekiranya pemuka Qurasiy ingin menghalangnya.  Abdul Muttalib mula mencari tanda-tanda yang diberi dalam mimpi. Namun tidak terdapat satu pun tanda tersebut di sekeliling Kaabah. Tiba-tiba, satu rombongan Arab datang ke situ untuk menyembelih lembu berhampiran dengan Kaabah.

Ketika penyembelihan, darah lembu tersebut mula tumpah ke tanah. Tiba-tiba lembu yang telah disembelih tadi, tiba-tiba bangun dari tempat sembelihan, sambil darah berhamburan dan jatuh pula di tempat yang lain. Peristiwa tersebut menjadi petanda pertama yang dicari oleh Abdul Muttalib. Namun, tempat itu masih terlalu luas.

Dia mencari lagi tanda-tanda yang lain, lalu menjumpai perkampungan sarang semut, yang juga masih terlalu luas untuk di gali. Akhirnya, datang seekor gagak hitam, padanya ada bulu berwarna putih. Gagak itu mematuk-matuk tanah berdekatan dengan perkampungan semut tadi. Abdul Muttalib menjadi bertambah yakin dan membuat keputusan untuk terus menggali di tempat yang memenuhi tanda yang diberikan dalam mimpi.

                 Ketika mula menggali, pemimpin Quraisy mula menghampirinya dan berkata, “Apa yang kamu gali wahai Abdul Muttalib? Mana boleh kamu menggali di sini, di tepi Kaabah!”

Sementara Abdul Muttalib terus menggali, anaknya Harith diperintahkan untuk menghadapai pemimpin Quraisy. Abdul Muttalib terus menggali tanpa henti dan tanpa menghirau kekecohan orang-orang Quraisy itu. Dalam kekecohan itu, Abdul Muttalib tiba-tiba menjarit, “Maha Besar Tuhan, Maha Besar Tuhan!” Orang-orang Quraisy menjadi semakin terpinga-pinga dan masing-masing ingin mengetahui apakah yang telah berjaya digali oleh Abdul Muttalib.

Rupa-rupanya Abdul Muttalib telah berjaya menemui batu penutup telaga zamzam. Orang-orang Quraisy bertanya lagi, “apakah yang kamu cari, wahai Abdul Muttalib?”

Kali ini barulah Abdul Muttalib menjawab, “aku menggali zamzam,” ujarnya ringkas. Penggalian diteruskan sehinggalah zamzam ditemui. Begitulah sejarah penggalian semula telaga zamzam. Sehingga ke hari ini, telaga zamzam tidak pernah kering dan sentiasa cukup untuk memberi minum kepada para jemaah haji dan sesiapa yang berkunjung ke Mekah. Malah air zamzam pada ketika ini turut disalurkan kepada mereka yang menziarahi Masjid An-Nabawi di Madinah.  -Tamat-