SEJARAH PENGGALIAN SEMULA ZAMZAM”
Tradisi pembesar Mekah sejak turun-temurun ialah memberi minum kepada para jemaah Haji. Namun, sejak Mekah dirampas oleh suku Khuzaah dan sejak Amru Bin Lu’ayy membawa masuk agama syirik ke Mekah, telaga tersebut tidak dipelihara sehingga sudah tidak diketemui lagi.
Setelah Mekah kembali dikuasai oleh keturunan Nabi Ismail A.S. iaitu Qusai Bin Kilab, tradisi ini diteruskan lagi, namun mereka terpaksa mengambil air dari luar Kota Mekah. Setelah kematian Qusai Bin Kilab tanggungjawab memimpin Mekah diambil oleh generasi keturunan beliau. Syaibah Bin Hasyim bin Abdul Manaf Bin Qusai adalah salah seorang keturunan Nabi Ismail yang mewarisi pemerintahan Kota Mekah.
Syaibah adalah anak Hasyim daripada isterinya yang bernama Ummu Hasyim, seorang wanita bangsawan di kalangan kaumnya yang tinggal di luar Mekah, Umur Hasyim tidak panjang, Syaibah kehilangan ayahnya sejak dia kecil. Setelah Syaibah meningkat remaja, bapa saudaranya Muttalib membawanya untuk tinggal di Mekah.
“Syaibah ini daripada keturunan Qusai Bin Kilab. Dia adalah pemimpin Quraisy. Tidak sepatutnya dia tinggal di luar Mekah,” kata Muttalib kepada Ummu Hasyim yang pada awalnya enggan melepaskan Syaibah.
Apabila tiba di Mekah, orang ramai menyangka bahawa Syaibah merupakan hamba baru yang dibeli oleh Muttalib, lalu menggelarnya Hamba Muttalib atau Abdul Mutalib dalam Bahasa Arab. Akhirnya nama ini menjadi masyhur. Dialah Abdul Muttalib datuk Nabi Muhammad SAW. Nama sebenarnya Syaibah.
Ibnu Ishaq meriwayatkan daripada Saidina Ali K.W. ada orang datang ke dalam mimpi Abdul Muttalib dan menyuruhnya menggali Al-Tibah. Apabila Abdul Muttalib bertanya, “Apakah Al-Tibah itu?” Tetapi suara itu telah hilang.
Malam ketiga, dia didatangi mimpi yang sama, namun kali ini menyuruhnya menggali madhmunah. Apabila ditanya apakah itu madhmunah, suara itu hilang lagi. Perasaan Abdul Muttalib semakin kuat.
Hinggalah pada malam keempat, suara itu berkata, “Galilah zamzam.” Lalu Abdul Muttalib menjawab, “di manakah zamzam?”
Kali ini suara itu menjawab, “Ia tidak akan kering selama-lamanya dan tidak akan berkurang, ia akan memberi minum kepada para jemaah haji tetamu Allah Yang Maha Agung, ia berada di antara perut dan darah, di sisi patukan gagak hitam yang ada bulu putih, di rumah kampong semut.”
Yakinlah hati Abdul Muttalib bahawa dia diperintahkan untuk menggali telaga zamzam. Zamzam memang tidak asing bagi masyarakat Mekah. Apatah lagi bagi Abdul Muttalib yang telah diangkat menjadi Ketua Mekah pada ketika itu. Namun, oleh kerana sudah agak lama zamzam ditimbus, masyarakat sendiri sudah tidak tahu di manakah kedudukan telaga zamzam. Tambahan keadaan di sekeliling Kaabah agak mustahil untuk dilakukan usaha menggali.
Esoknya juga, Abdul Muttalib mengajak anaknya Harith, membantunya menggali zamzam. Harith diperintahkan untuk berhadapan dengan pemuka Quraisy dan mempertahankan bapanya sekiranya pemuka Qurasiy ingin menghalangnya. Abdul Muttalib mula mencari tanda-tanda yang diberi dalam mimpi. Namun tidak terdapat satu pun tanda tersebut di sekeliling Kaabah. Tiba-tiba, satu rombongan Arab datang ke situ untuk menyembelih lembu berhampiran dengan Kaabah.
Ketika penyembelihan, darah lembu tersebut mula tumpah ke tanah. Tiba-tiba lembu yang telah disembelih tadi, tiba-tiba bangun dari tempat sembelihan, sambil darah berhamburan dan jatuh pula di tempat yang lain. Peristiwa tersebut menjadi petanda pertama yang dicari oleh Abdul Muttalib. Namun, tempat itu masih terlalu luas.
Dia mencari lagi tanda-tanda yang lain, lalu menjumpai perkampungan sarang semut, yang juga masih terlalu luas untuk di gali. Akhirnya, datang seekor gagak hitam, padanya ada bulu berwarna putih. Gagak itu mematuk-matuk tanah berdekatan dengan perkampungan semut tadi. Abdul Muttalib menjadi bertambah yakin dan membuat keputusan untuk terus menggali di tempat yang memenuhi tanda yang diberikan dalam mimpi.
Ketika mula menggali, pemimpin Quraisy mula menghampirinya dan berkata, “Apa yang kamu gali wahai Abdul Muttalib? Mana boleh kamu menggali di sini, di tepi Kaabah!”
Sementara Abdul Muttalib terus menggali, anaknya Harith diperintahkan untuk menghadapai pemimpin Quraisy. Abdul Muttalib terus menggali tanpa henti dan tanpa menghirau kekecohan orang-orang Quraisy itu. Dalam kekecohan itu, Abdul Muttalib tiba-tiba menjarit, “Maha Besar Tuhan, Maha Besar Tuhan!” Orang-orang Quraisy menjadi semakin terpinga-pinga dan masing-masing ingin mengetahui apakah yang telah berjaya digali oleh Abdul Muttalib.
Rupa-rupanya Abdul Muttalib telah berjaya menemui batu penutup telaga zamzam. Orang-orang Quraisy bertanya lagi, “apakah yang kamu cari, wahai Abdul Muttalib?”
Kali ini barulah Abdul Muttalib menjawab, “aku menggali zamzam,” ujarnya ringkas. Penggalian diteruskan sehinggalah zamzam ditemui. Begitulah sejarah penggalian semula telaga zamzam. Sehingga ke hari ini, telaga zamzam tidak pernah kering dan sentiasa cukup untuk memberi minum kepada para jemaah haji dan sesiapa yang berkunjung ke Mekah. Malah air zamzam pada ketika ini turut disalurkan kepada mereka yang menziarahi Masjid An-Nabawi di Madinah. -Tamat-
No comments:
Post a Comment