Thursday, November 7, 2013

Isu 2 "Berubah Bermula Dengan PERCAYA"

                
                 AlhamduliLlah, segala puji bagi Allah Ta'ala, Tuhan sekalian Alam, tiada sekutu bagi Allah dalam agama mahupun ideologi, tiada sekutu bagi Allah dalam pentadbiran agama dan diri, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Maha Suci Allah dari segala sifat cela dan perbuatan syirik hamba dan makhlukNya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, petunjuk dan cahaya seluruh Alam.

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang PERCAYA(beriman) kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Al-Isra’ 17:82) 

Penurunan Al-Quran merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW secara berperingkat melalui perantaraan Malaikat Jibril. Al-Quran adalah tanda kasih sayang Allah kepada umat manusia khususnya kepada para sahabat R.A. dan masyarakat Arab Jahiliah umumnya pada ketika itu. 

Para Sahabat R.A, disebut sebagai generasi Al-Quran kerana mereka ditarbiah dan dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW berdasarkan wahyu dan petunjuk daripada Al-Quran yang diturunkan secara berperingkat. Mereka mengalami pelbagai peristiwa yang menjadikan mereka generasi terbaik yang pernah dilahirkan di atas muka bumi.

Ayat-ayat Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW bertepatan dengan peristiwa yang sedang mereka alami. Bahkan terdapat begitu banyak ayat yang diturunkan khusus untuk para Sahabat.  Al-Quran mengandungi pelbagai kisah dan perintah untuk dijadikan pedoman supaya umat manusia selamat di dunia dan akhirat. Mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW ini dipelihara sehingga ke hari kiamat kerana ia mengandungi pelbagai khasiat dan kelebihan.

Namun, Allah Ta’ala terlebih dahulu mengehadkan bahawa mereka yang bakal beroleh manfaat daripada Al-Quran hanyalah mereka yang PERCAYA. Bermakna, kelebihan dan kehebatan Al-Quran tidak akan memberikan manfaat kepada mereka yang tidak percaya. 

                 Perubahan ke arah kebaikan memerlukan petunjuk yang benar iaitu Al-Quran dan Hadith. Sebab itu, tidak hairanlah ramai orientalis yang mengkaji mengenai Al-Quran tidak terkesan kerana sikap mereka yang enggan PERCAYA. Begitu juga dengan bacaan doa dan bacaan ketika solat dan ibadah lainnya, semuanya kurang memberikan kesan kepada perubahan dalam diri kerana kurangnya kePERCAYAan.

Suatu ketika dahulu, masyarakat eropah, mempercayai bahawa bumi ini rata. Maka mereka melarang anak cucu mereka daripada keluar belayar jauh dari daratan, kerana risau akan terjatuh ke ruang yang tidak dikenali. Mereka juga mendakwa terdapat pelayar-pelayar yang mengingkari larangan tersebut hilang dari muka bumi dan tidak lagi dapat kembali ke tanah air mereka.

Namun, seorang anak muda, Christopher Colombus mempunyai pendapat yang jauh bertentangan dengan apa yang didakwa oleh masyarakat pada ketika itu. Beliau percaya bahawa bumi ini berbentuk sfera, lalu mengambil keputusan untuk berlayar. Christopher Colombus belayar seawal umurnya 10 tahun, dan menjadi antara yang pertama di zamannya, membuktikan bahawa bumi ini berbentuk sfera. Inilah yang dikatakan perubahan itu bermula dengan percaya. Percaya mendorong kita untuk melakukan sesuatu perubahan.

Christopher Colombus didorong oleh kepercayaannya bahawa bumi ini sfera, lantas mendorongnya untuk belayar ke seluruh dunia. Dia meneroka bumi Amerika Utara dan Selatan, sehinggalah ke Lautan Hindi di Asia, dan perjalanan beliau diteruskan dengan penuh komitmen, paling penting bermula dengan PERCAYA.

Kisah Christopher Colombus hanyalah satu daripada jutaan kisah perubahan besar yang dimulakan dengan PERCAYA. Ayuhm sama-sama berubah kerana dan ke arahNya–Tamat-



Isu 2 "Kejora Antara Bintang -Saidina Umar"

Saidina Umar Al-Khattab

Nama Penuh:        Umar Bin Al-Khattab Bin Nufail Bin Abdul Uzza Al-Qurasyi

Sumbangan :         Menjadi Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua selepas   
dan jasa                    kewafatan Nabi SAW.

                                     Menawan wilayah Syam(Baitul Maqdis), Iraq, Persia(Iran), Mesir, Burqah (Nama                                            sebuah daerah di Libya), Tripoli, Azerbaijan, Nahawand, dan Jurjan.

                                   Orang pertama menetapkan tahun Hijrah sebagai Kalendar Islam.

                                   Orang pertama mengumpulkan orang dalam solat Terawih.

                                    Orang pertama yang mencetak mata wang dirham.

                                   Terdapat enam pendapat Saidina Omar yang dikuatkan dengan Nas Al-Quran,                                             antaranya menyarankan kepada Nabi Muhammad SAW agar tidak mensolatkan                                         jenazah orang munafiq, lalu turun ayat yang menyokong pendapat tersebut.

Gelaran: Al-Faruq (pemisah antara haq dan batil)

Kisah mengenai Beliau:

                Menjadi Khalifah kedua selepas Saidina Abu Bakar, Saidina Omar menjadi khalifah selama 10 tahun 6 bulan dan 4 hari. Dia berwajah tampan, tangan dan kakinya berotot, janggutnya lebat dan suka mewarnakannya dengan bahan pewarna Al-Hinna dan katam. Kepala depannya botak, tubuhnya tinggi besar, seolah dia sedang menunggang kerana terlampau tingginya, warna kulitnya coklat kemerah-merahan, tubuhnya tegap dan suaranya lantang.


           Nabi Muhammad SAW pernah mengatakan kepada Umar, “Demi jiwaku yang berada di genggamanNya, jika engkau (Umar) telah memilih untuk melalui satu jalan, maka pasti syaitan akan memilih untuk melalui jalan selain dari jalan itu,” (Hadith riwayat Al-Bukhari)

            Saidina Umar dikenali sebagai seorang yang cerdas dan paling tegas di kalangan pemuda Quraisy. Dialah satu-satunya Sahabat Nabi yang berhijrah secara terang-terangan.

           Ketika beliau hendak berhijrah, dengan penuh ketegasan dan keberanian, beliau mengatakan kepada orang-orang kafir musyrik, “Sesungguhnya aku akan berhijrah ke Yathrib, sesiapa yang ingin ibunya kehilangan anak, atau anaknya menjadi yatim, silalah menghalang aku dari berhijrah, maka esok, temui aku di belakang lembah ini.” Demikian kata-kata Saidina Umar yang benar-benar menggerunkan musuhnya.

Namun, disebalik ketegasan dan sikap lantangnya itu, Saidina Umar juga dikenali sebagai ahli Ibadah. Hati dan jiwanya mudah tersentuh, digambarkan oleh peristiwa ketika dia mula mendapat hidayah. Waktu itu, beliau sedang dalam perjalanan ingin membunuh Nabi Muhammad. Tiba-tiba dia diberitahu bahawa adiknya Fatimah telah memeluk Islam.

Beliau lantas menukar arahnya menuju ke rumah adiknya. Beliau menemui Khabab bin Art dan Sa’id – suami Fatimah sedang mengajar Fatimah membaca Al-Quran. Maka Umar terus memukul Fatimah. Namun, setelah Umar membaca awal surah Taha, hatinya tersentuh lalu pergi menemui Nabi Muhammad SAW di Darul Arqam untuk menyatakan keislamannya.

Seluruh umat Islam bergembira dengan keislaman Umar. Pada hari itu juga, Saidina Umar memimpin rombongan para Sahabat dan Nabi untuk mendirikan Solat secara terang-terangan di depan Ka’abah. Sebuah lagi rombongan dipimpin oleh Saidina Hamzah yang telah beriman sebelum Saidina Umar. –Tamat-

Isu 2 "SEJARAH PENGGALIAN SEMULA ZAMZAM”



SEJARAH PENGGALIAN SEMULA ZAMZAM”

                 Tradisi pembesar Mekah sejak turun-temurun ialah memberi minum kepada para jemaah Haji.  Namun, sejak Mekah dirampas oleh suku Khuzaah dan sejak Amru Bin Lu’ayy membawa masuk agama syirik ke Mekah, telaga tersebut tidak dipelihara sehingga sudah tidak diketemui lagi.

                 Setelah Mekah kembali dikuasai oleh keturunan Nabi Ismail A.S. iaitu Qusai Bin Kilab, tradisi ini diteruskan lagi, namun mereka terpaksa mengambil air dari luar Kota Mekah. Setelah kematian Qusai Bin Kilab tanggungjawab memimpin Mekah diambil oleh generasi keturunan beliau. Syaibah Bin Hasyim bin Abdul Manaf Bin Qusai adalah salah seorang keturunan Nabi Ismail yang mewarisi pemerintahan Kota Mekah.

Syaibah adalah anak Hasyim daripada isterinya yang bernama Ummu Hasyim, seorang wanita bangsawan di kalangan kaumnya yang tinggal di luar Mekah, Umur Hasyim tidak panjang, Syaibah kehilangan ayahnya sejak dia kecil. Setelah Syaibah meningkat remaja, bapa saudaranya Muttalib membawanya untuk tinggal di Mekah.

“Syaibah ini daripada keturunan Qusai Bin Kilab. Dia adalah pemimpin Quraisy. Tidak sepatutnya dia tinggal di luar Mekah,” kata Muttalib kepada Ummu Hasyim yang pada awalnya enggan melepaskan Syaibah.

Apabila tiba di Mekah, orang ramai menyangka bahawa Syaibah merupakan hamba baru yang dibeli oleh Muttalib, lalu menggelarnya Hamba Muttalib atau Abdul Mutalib dalam Bahasa Arab. Akhirnya nama ini menjadi masyhur. Dialah Abdul Muttalib datuk Nabi Muhammad SAW. Nama sebenarnya Syaibah.

Ibnu Ishaq meriwayatkan daripada Saidina Ali K.W. ada orang datang ke dalam mimpi Abdul Muttalib dan menyuruhnya menggali Al-Tibah. Apabila Abdul Muttalib bertanya, “Apakah Al-Tibah itu?” Tetapi suara itu telah hilang.


 Keesokan malamnya, dia bermimpi lagi. Kali ini suara itu menyuruhnya menggali barrah. Lalu Abdul Muttalib bertanya, “apakah barrah itu?” suara itu hilang lagi. Abdul Muttalib merasakan seperti ada sesuatu yang penting kerana dia tidak pernah mengalami mimpi seperti itu sebelum ini.
                 Malam ketiga, dia didatangi mimpi yang sama, namun kali ini menyuruhnya menggali madhmunah. Apabila ditanya apakah itu madhmunah, suara itu hilang lagi. Perasaan Abdul Muttalib semakin kuat.

Hinggalah pada malam keempat, suara itu berkata, “Galilah zamzam.” Lalu Abdul Muttalib menjawab, “di manakah zamzam?”

Kali ini suara itu menjawab, “Ia tidak akan kering selama-lamanya dan tidak akan berkurang, ia akan memberi minum kepada para jemaah haji tetamu Allah Yang Maha Agung, ia berada di antara perut dan darah, di sisi patukan gagak hitam yang ada bulu putih, di rumah kampong semut.”

Yakinlah hati Abdul Muttalib bahawa dia diperintahkan untuk menggali telaga zamzam. Zamzam memang tidak asing bagi masyarakat Mekah. Apatah lagi bagi Abdul Muttalib yang telah diangkat menjadi Ketua Mekah pada ketika itu. Namun, oleh kerana sudah agak lama zamzam ditimbus, masyarakat sendiri sudah tidak tahu di manakah kedudukan telaga zamzam. Tambahan keadaan di sekeliling Kaabah agak mustahil untuk dilakukan usaha menggali.

Esoknya juga, Abdul Muttalib mengajak anaknya Harith, membantunya menggali zamzam. Harith diperintahkan untuk berhadapan dengan pemuka Quraisy dan mempertahankan bapanya sekiranya pemuka Qurasiy ingin menghalangnya.  Abdul Muttalib mula mencari tanda-tanda yang diberi dalam mimpi. Namun tidak terdapat satu pun tanda tersebut di sekeliling Kaabah. Tiba-tiba, satu rombongan Arab datang ke situ untuk menyembelih lembu berhampiran dengan Kaabah.

Ketika penyembelihan, darah lembu tersebut mula tumpah ke tanah. Tiba-tiba lembu yang telah disembelih tadi, tiba-tiba bangun dari tempat sembelihan, sambil darah berhamburan dan jatuh pula di tempat yang lain. Peristiwa tersebut menjadi petanda pertama yang dicari oleh Abdul Muttalib. Namun, tempat itu masih terlalu luas.

Dia mencari lagi tanda-tanda yang lain, lalu menjumpai perkampungan sarang semut, yang juga masih terlalu luas untuk di gali. Akhirnya, datang seekor gagak hitam, padanya ada bulu berwarna putih. Gagak itu mematuk-matuk tanah berdekatan dengan perkampungan semut tadi. Abdul Muttalib menjadi bertambah yakin dan membuat keputusan untuk terus menggali di tempat yang memenuhi tanda yang diberikan dalam mimpi.

                 Ketika mula menggali, pemimpin Quraisy mula menghampirinya dan berkata, “Apa yang kamu gali wahai Abdul Muttalib? Mana boleh kamu menggali di sini, di tepi Kaabah!”

Sementara Abdul Muttalib terus menggali, anaknya Harith diperintahkan untuk menghadapai pemimpin Quraisy. Abdul Muttalib terus menggali tanpa henti dan tanpa menghirau kekecohan orang-orang Quraisy itu. Dalam kekecohan itu, Abdul Muttalib tiba-tiba menjarit, “Maha Besar Tuhan, Maha Besar Tuhan!” Orang-orang Quraisy menjadi semakin terpinga-pinga dan masing-masing ingin mengetahui apakah yang telah berjaya digali oleh Abdul Muttalib.

Rupa-rupanya Abdul Muttalib telah berjaya menemui batu penutup telaga zamzam. Orang-orang Quraisy bertanya lagi, “apakah yang kamu cari, wahai Abdul Muttalib?”

Kali ini barulah Abdul Muttalib menjawab, “aku menggali zamzam,” ujarnya ringkas. Penggalian diteruskan sehinggalah zamzam ditemui. Begitulah sejarah penggalian semula telaga zamzam. Sehingga ke hari ini, telaga zamzam tidak pernah kering dan sentiasa cukup untuk memberi minum kepada para jemaah haji dan sesiapa yang berkunjung ke Mekah. Malah air zamzam pada ketika ini turut disalurkan kepada mereka yang menziarahi Masjid An-Nabawi di Madinah.  -Tamat-

Thursday, March 14, 2013

Isu Pertama - Kejora Antara Bintang


Kejora Di Antara Bintang


Saidina Abu Bakar As-Siddiq.


Nama Penuh:               Abdullah Bin Uthman Bin Amir Bin Ka’ab At-Taimi Al-Qurasyi

Nama sebelum Islam:   Abdul Ka’abah

Sumbangan dan jasa:    Menjadi Khalifah Ar-Rasyidin yang pertama selepas kewafatan Nabi SAW.

Satu-satunya Sahabat yang dipilih untuk menemani Nabi SAW dalam peristiwa Hijrah.

Ketika Nabi SAW berada dalam keadaan gering, Baginda menyuruh Saidina Abu Bakar untuk menjadi imam bagi solat fardhu.

Tidak pernah gagal mengikuti setiap peperangan bersama Nabi.

Anaknya, Siti Aisyah R.A. menjadi Isteri dan wanita yang dicintai Nabi.

Gelaran:                        As-Siddiq (yang membenarkan)
                                     Al-Atiq (yang dibebaskan)

Kisah mengenai Beliau:

          Lahir dua tahun beberapa bulan selepas kelahiran Nabi Muhammad SAW di Mekah. Berkulit putih, kurus, matanya cekung, badannya bongkok, rambutnya lebat dan suka mewarnakan rambutnya dengan bahan pewarna al-hinna dan katam.

          Nabi Muhammad SAW pernah berkata, “Tidak kuajak seorang pun untuk memeluk Islam melainkan dia ragu dan bimbang kecuali Abu Bakar. Dia tidak ragu dan bimbang ketika kusampaikan kepadanya.” (HR Ibnu Ishak)

        Gelaran As-Siddiq diberikan kepadanya selepas peristiwa Isra’ dan Mikraj. Setelah Nabi Muhammad SAW pulang ke Mekah, Baginda terus menuju ke Kaabah. Namun, orang pertama yang Baginda temui ialah Abu Jahal. Abu Jahal bertanyakan kepada Nabi Muhammad SAW, “Apalagi khabar yang ingin kamu sampaikan hari ini?” tanya Abu Jahal dengan niat ingin mempersendakan Nabi SAW. 

          Abu Jahal menjadi begitu gembira mendengar perkhabaran luar biasa mengenai pengalaman Isra’ dan Mikraj yang dialami oleh Nabi. “Kami mengambil masa sebulan untuk ke Syam, dan sebulan lagi untuk kembali ke Mekah, tetapi Muhammad mendakwa dia telah pergi ke Masjid Al-Aqsa di syam semalam, dan pulang ke Mekah pada awal pagi ini!” begitulah berita yang dijaja kepada seluruh penduduk Mekah.

Hinggalah pada suatu ketika, Abu Jahal bertemu dengan Saidina Abu Bakar R.A. Berita yang sama juga dikhabarkan kepada Abu Bakar dengan penuh semangat. Abu Bakar bertanya kembali, “Benarkah berita ini yang disampaikan oleh Muhammad?” Abu Jahal menjawab, “Benar, engkau boleh tanya sendiri kepadanya jika engkau tidak percaya,” jawab Abu Jahal dengan yakinnya. 

Dengan tenang Abu Bakar lantas menjawab, “Jika benar berita inilah yang disampaikan daripada Muhammad, lebih teruk daripada itu pun aku percaya. Keyakinan Saidina Abu Bakar menyebabkan kaum muslimin terpukul lalu kembali meyakini akan kebenaran Nabi SAW, malah kaum musyrikin juga terpukul kerana gagal mematahkan semangat dan keimanan para Sahabat R.A.

Ketika Nabi Muhammad SAW wafat, umat Islam menjadi goyah, bahkan Saidina Omar mengugut ingin memancung kepala mereka yang menyebarkan berita bahawa Nabi SAW telah wafat. Namun, Saidina Abu Bakar R.A. dengan tegas mengatakan, “Jika kalian menyembah Muhammad, sesungguhnya dia telahpun wafat meninggalkan kita. Tetapi, jika kalian menyembah Allah sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Hidup, tidak akan mati.”

Isu Pertama - Fikrah dan Ideologi



Fikrah dan Ideologi

Islam Liberal

                Dari segi bahasa liberal bererti terbuka dan bebas. Dari segi istilah pula, Islam Liberal ialah ideologi yang ingin menjadikan Islam ini agama yang terbuka dan bebas. Serangan utama mereka ialah terhadap akidah umat Islam khususnya, kerana agama Islam ini kononnya tidak selari dengan akal fikiran mereka. Jaringan Islam Liberal (JIL), adalah antara pertubuhan yang terkenal mendokong gagasan Islam Liberal ini. Secara ringkas, Islam Liberal ini menggagaskan lima pendekatan utama iaitu pluralisme agama, kesamarataan gender, Al-Quran Edisi Kritis, Hermeneutika Al-Quran dan juga sekularisme.


Pluralisme Agama:        

Dalam pendekatan Pluralisme Agama, Islam liberal mengemukakan pandangan bahawa semua agama adalah sama. Kononnya semua agama membawa kebaikan maka tidak salah untuk berlainan agama. Berlaku di beberapa buah negara yang mengamalkan pluralisme agama ini dalam sebuah rumah si ayah beragama Kristian, ibu beragama Hindu, anak beragama Islam dan seterusnya. Seolah-olah semua agama itu benar dan rakyat, di bawah Hak Asasi Manusia berhak memilih agama yang disukai.


Kesamarataan Gender (Feminisme):

                Dalam isu kesamarataan gender, pendokong Islam Liberal ini menjadikan wanita muslimat sebagai kelompok sasaran mereka. Mereka mendakwa, jika menggunakan nas-nas dan juga hukum-hakam dari Al-Quran, maka wanita akan tertindas dan hak mereka dizalimi. Maka mereka menuntut supaya hak sama rata diberikan antara lelaki dan perempuan. Isu yang biasa diketengahkan ialah isu talak yang hanya diberikan hak menjatuhkan talak kepada kaum lelaki. Begitu juga hak untuk berpoligami yang juga khusus untuk orang lelaki. Kononnya, kaum wanita juga perlu mempunyai hak yang sama untuk menjatuhkan talak dan berpoligami.


Al-Quran Edisi Kritis (QEK)

                Melalui isu ini, Islam Liberal mendakwa Al-Quran yang ada pada hari ini adalah Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada 1400 tahun yang lampau. Maka kononnya kebanyakan hukum sudah tidak lagi relevan untuk dilaksanakan pada hari ini. Maka QEK ini ialah idea yang ingin dilaksanakan oleh Islam Liberal ini dengan mengubah isi kandungan Al-Quran dan menghapuskan hukum-hukum tertentu yang kononnya sudah tidak lagi relevan dilaksanakan.


Hermeneutika Al-Quran

                Jika QEK ingin mengubah isi kandungan Al-Quran, maka Hermeneutika Al-Quran ini berhasrat ingin mengubah penulisan al-quran kepada bahasa ibunda negara masing-masing, lantas mengubah makna dan orientasi pentafsiran Al-Quran berdasarkan kondisi semasa negara-negara tertentu. Kononnya, apabila Al-Quran dibaca dalam Bahasa Arab, bahasa asal tulisan Al-Quran, Al-Quran tidak akan dapat difahami oleh pemikiran penduduk setempat yang berlainan kondisi dengan negara Arab. Bahkan mereka mendakwa, Al-Quran dalam Bahasa Arab hanya sesuai untuk orang Arab, tidak sesuai untuk orang bukan arab.


Sekularisme

                Ideologi ini sebenarnya sudah lama bertapak malah sudah ramai yang sedar dan faham. Namun Islam Liberal masih lagi menjadikan isu ini sebagai antara senjata utama memusnahkan pegangan Umat Islam terhadap aqidah Islam yang sebenar. Sekularisme bererti pengasingan agama dari aspek kehidupan. Kononnya, Islam hanyalah merujuk kepada ibadah ritual tanpa melibatkan urusan politik, ekonomi, budaya, undang-undang, mahupun hubungan diplomatik dan kemasyarakatan. Mereka cuba menyempitkan fahaman umat terhadap keindahan dan betapa lengkap dan sempurnanya ajaran Islam yang turut mencakupi setiap aspek kehidupan.


Penjelasan

                Sungguh, Islam Liberal ini merupakan ancama yang sangat besar dan bahaya ke atas umat Islam. Atas nama Hak Asasi Manusia, mereka cuba meracuni pemikiran dan akidah umat Islam supaya melonggarkan hukum-hakam dan ajaran lengkap yang diajarkan oleh Islam. Pluralisme agama misalnya, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali. Seolah-olah Tuhan itu ada banyak. Sedangkan Dialah Allah yang telah menciptakan segala-galanya. Kisah Nabi Ibrahim yang mencabar akal pemikiran kaumnya patut dijadikan iktibar.

Iaitu ketika Nabi Ibrahim sengaja tidak menyertai kaumnya pergi ke pesta. Secara senyap-senyap Baginda memecahkan semua berhala yang terdapat di rumah ibadah kaumnya kecuali sebuah berhala yang besar dan sengaja diletakkan kapak di tangan berhala tersebut. Ketika mereka pulang, mereka bertanyakan kepada Nabi Ibrahim, Baginda menjawab, “Saya tidak tahu, tanyalah kepada berhala yang besar itu, bukankah ia sahaja yang tidak hancur malah kapa di tangannya?” Jawapan ini menunjukkan bahawa sebenarnya Islam sahajalah agama yang benar. Namun, Islam mengajar kita untuk mengamalkan sikap toleransi. Kerana sikap toleransi inilah membolehkan kita untuk terus hidup dalam rukun dan damai. Kita tidak boleh memaksa orang lain memeluk Islam, kita juga tidak boleh sewenang-wenang membiarkan agama lain mendakyah umat Islam.

Tuntutan supaya wanita juga dilayan sama rata dengan lelaki sebenarnya adalah satu tuntutan yang sangat zalim terhadap wanita. Ini kerana, biologi dan sains sendiri membuktikan bahawa fizikal, emosi, intelektual wanita adalah tidak sama dengan lelaki. Jika kita boleh terima bahawa adanya undang-undang juvana yang dikenakan kepada remaja, kenapa tidak boleh menerima undang-undang berbeza dikenakan terhadap wanita? Remaja berbeza dengan orang dewasa. Kadangkala, tindakan mereka bukan lahir dari pemikiran yang waras dan matang. Maka mereka tidak boleh dihukum seperti orang dewasa.

Wanita juga tidak boleh berpoligami kerana jika ada anak yang lahir daripada perkahwinan yang lebih daripada satu, maka suami yang manakah yang harus dinamakan sebagai ayah kepada anak yang dikandung? Inilah antara kebijaksanaan Allah yang mengatur dan mencipta segalanya.

Isu QEK dan Hermeneutika Al-Quran juga sebenarnya berpunca daripada pemikiran bebas yang melampau. Mereka sanggup menyanggah intipati Al-Quran sedangkan Al-Quran itu adalah kalam Allah. Jika kalam Allah sendiri sanggup dipersendakan, apakah layak mereka menggelarkan diri mereka sebagai seorang Islam? Al-Quran diturunkan secara berperingkat dan disampaikan kepada kita melalui riwayat yang mutawatir. Iaitu bersumberkan daripada riwayat yang terlampau banyak. Al-Quran yang dibaca di Malaysia pada hari ini, adalah Al-Quran yang sama yang dibaca di England, Uzbezkistan, dan seluruh tempat di seluruh dunia, malah sejak 1400 tahun isi kandungannya tidak pernah berubah.

Jika diselidik dan dikaji, kita akan dapati ribuan saintis yang memeluk Islam semata-mata kerana mereka mengkaji kebenaran alam ini terdapat dalam Al-Quran. Maka apakah dengan kedangkalan ilmu dan kajian yang kita lakukan, kita ingin menafikan kebenaran ilmu dan isi kandungan yang terdapat dalam Al-Quran?

          Islam adalah ajaran yang mementingkan aspek dunia dan akhirat. Bahkan umat Islam sejati ialah mereka yang sentiasa cemerlang dalam setiap pekerjaan. Mengasingkan aspek keduniaan daripada Islam hanyalah akan membawa kepada kemunduran. Lihat sahaja ketamadunan yang dicapai oleh Kesultanan Islam Melaka pada suatu ketika dahulu, mereka gemilang dengan Islam. Bahkan ajaran dan undang-undang dalam Islam sangat sesuai dan relevan untuk semua kaum, bangsa malah agama.

                Hari ini, kita dapati masyarakat bukan Islam sendiri memilih untuk mengambil skim takaful berbanding skim perlindungan insurans. Walaupun mereka belum beroleh hidayah untuk memeluk Islam, mereka sendiri dapat berfikir secara waras dan mendapati sistem Islam lebih praktikal berbanding sistem bukan Islam.

Setiap dakwaan dan isu yang diketengahkan lahir daripada sikap yang terlalu memberatkan akal dan fikiran, sedang ilmu Allah ini jauh melangkaui keupayaan akal manusia. Bumi ini berputar dengan putaran yang ditentukan Allah. Silih pergantian malam dan siang, pasang surut laut, angin yang bertiup, hujan panas, segalanya ditentukan oleh Allah. Apalagi manusia, diciptakan sendiri oleh Allah.

                Islam bukanlah agama yang boleh difahami dengan akal dan logik semata-mata. Bahkan setiap perkara ada hikmah yang tersembunyi. Semoga Allah terus melimpahkan taufiq dan hidayahNya untuk kita semua. Semoga Dia memberikan petunjuk kepada kita, petunjuk kepada orang-orang yang bersama dengan kita, petunjuk kepada manusia seluruhnya, dan menjadikan kita asbab kepada petunjuk tersebut.
WaLlahu A’alam.

Isu Pertama - Biografi Utusan Terakhir


Biografi Utusan Terakhir - Sebelum Kelahiran

                Sebelum kelahiran insan agung, Nabi Muhammad Bin Abdullah SAW, berlaku pelbagai peristiwa hebat. Antaranya ialah peristiwa rombongan tentera bergajah yang ingin menghancurkan Kaabah. Rombongan tentera bergajah itu berasal dari Negeri Yaman, terletak kira-kira 800km ke selatan Makkah dan dipimpin oleh panglima yang bernama Abrahah.

Abrahah seorang penganut Kristian, telah membina sebuah gereja yang hebat dan yang paling besar ketika itu, dinamakan al-Qulais. Dia memerintahkan semua suku Arab datang mengerjakan ibadah di gerejanya itu. Namun begitu, kemasyhuraran al-Qulais ciptaan manusia tidak mampu menandingi kehebatan Kaabah yang dibina oleh para utusan Allah. Mendengar perkhabaran mengenai Kaabah ini, Abrahah, lalu memimpin pasukan bergajah pergi ke Makkah untuk menghancurkan Kaabah.

Di awal perjalanan tentera Abrahah itu, mereka berhadapan dengan tentangan daripada pelbagai suku kaum yang ingin menyekat niat jahat Abrahah. Namun kesemua tentangan itu dapat ditangkis dengan mudah oleh tentera Abrahah yang hebat dan besar jumlahnya itu. Sampai di Taif, penduduk Taif tidak berani menyekat bahkan mereka menghantar wakil untuk menunjukkan jalan ke Kaabah. 

Seorang utusan yang bernama Zu Rughal diutus untuk menjadi penunjuk jalan. Zu Rughal akhirnya mati sebelum sampai ke Kaabah, lalu kuburnya dijadikan tempat rejaman orang Arab yang menganggapnya sebagai pengkhianat. Bahkan sehingga ke hari ini, nama Zu Rughal merujuk kepada orang yang bersikap khianat.

Apabila tentera Abrahah sampai berhampiran Kota Mekah, mereka merampas binatang-binatang ternakan orang Mekah. Antara yang dirampas ialah 200 ekor unta milik Abdul Mutalib, datuk kepada Nabi Muhammad Bin Abdullah SAW, yang juga merupakan ketua penduduk Mekah pada ketika itu. Beliau pun pergi menghadap Abrahah. Apabila Abdul Mutalib masuk menghadap, Abrahah turun dari singgahsananya lalu duduk sama aras dengan Abdul Mutalib kerana menghormatinya. Abdul Mutalib meminta Abrahah mengembalikan unta-untanya dan binatang-binatang ternakan yang telah dirampas oleh tentera Abrahah.

Abrahah yang terkejut dengan permintaan itu berkata,”Kenapa engkau begitu sayangkan unta-untamu, tetapi tidak meminta supaya Kaabah tidak diganggu?”

Abdul Mutalib menjawab, “Unta itu kepunyaan aku, maka aku minta dibebaskan, kerana akulah tuannya. Kaabah itu ada tuan yang menjaganya. Kaabah itu milik Allah, maka pasti Dia akan menjaganya.”

Kagum dengan perkataan Abdul Mutalib, Abrahah mengembalikan semua binatang ternakan yang dirampas, namun tetap meneruskan perancangannya ingin menghancurkan Kaabah. Abdul Mutalib lalu pulang ke Mekah dan mengembalikan binatang-binatang yang dirampas serta mengajak mereka keluar dari Mekah menuju ke bukit berhampiran. Di sanalah dengan perasaan hiba bercampur cemas, mereka menantikan apakah yang akan dilakukan oleh tentera Abrahah.

Pada hari yang telah dirancang, Abrahah mula mengarahkan pasukannya untuk bergerak menuju ke Kaabah. Akan tetapi, gajah-gajahnya tidak mahu bergerak walaupun dipukul. Gajah-gajah itu hanya mahu bergerak jika diarah ke arah selain dari Kaabah. Sambil itu, kelihatan di langit gumpalan seperti awan hitam. 

Lama-kelamaan gumpalan itu menjadi semakin besar. Sehinggalah kelihatan, rupanya gumpalan itu ialah burung ababil. Setiap ekor membawa tiga ketul batu, lalu dijatuhkan ke atas tentera-tentera Abrahah. Batu yang terkena pada tentera Abrahah itu membakar hancur daging-daging ibarat daun yang dimakan ulat. Melihat keadaan itu, Abrahah cuba melarikan diri namun batu tersebut mengenai badannya. Hancurlah Abrahah bersama-sama tenteranya yang jahat lagi bongkak itu.

Orang Arab yang menyaksikan peristiwa tersebut bertambah mengagungkan Kaabah lalu menamakan tahun tersebut sebagai Tahun Gajah. 

Isu Pertama - Intro


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Segala puji dan puja dipanjatkan ke hadrat Allah Ta’ala, Tuhan pentadbir sekalian alam, tiada zat yang layak dipuja, disembah mahupun ditaati melainkan Dia. Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Ucapan selawat dan salam ke atas junjungan tercinta, penghulu sekalian Nabi, dan tiada Nabi selepas Baginda, Saiyidina Muhammad Bin Abdullah, RasuluLlah SAW.

AlhamduliLlah, dengan izinNya, “DENGAN PENA” akhirnya berjaya diterbitkan untuk tatapan umat Islam khususnya di kawasan Parit ini. Penerbitan makalah yang ringan ini tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan menyahut perintah “Fastabiqul Khairat” dan mengajak semua umat Islam untuk sama-sama melakukan kebaikan. Menyebarkan kebaikan walaupun dengan sebatang pena dan sehelai kertas.


Ilmu Itu Cahaya

Ilmu itu ibarat cahaya yang menjadi petunjuk kepada manusia. Kita memerlukan cahaya untuk memandu jalan dan membantu kerja-buat setiap hari. Ibarat kita berada di tempat yang gelap, kita akan menghadapi kesukaran untuk bergerak apalagi untuk berjalan. Demikianlah perumpamaan kepentingan ilmu yang menjadi cahaya. Ilmu membantu kita bergerak. Apalagi dalam dunia yang penuh mencabar ketika ini, ilmu ibarat pelita yang menerangi kehidupan.  Firman Allah:

“Allah penyelamat bagi orang-orang yang beriman, Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindung mereka ialah Thoghut(setan) yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan. Mereka (orang-orang Kafir) adalah penghuni neraka dan mereka kekal di dalamnya,” Surah Al-Baqarah, 2 : 257.

Mudah-mudahan, dengan adanya makalah ini, dapat menjadi bekal dan peringatan untuk kami terutamanya, dan juga kita semua dalam menempuhi hari-hari yang mendatang.


Cadangan dan Teguran Amat Dialu-alukan

Juga sebagai menyahut perintah “Fastabiqul Khairat” juga kami mengalu-alukan cadangan dan teguran untuk menambah-baik penerbitan “DENGAN PENA” ini. Sebarang teguran dan cadangan bolehlah disalurkan kepada meja penerbit “DENGAN PENA” melalui emel denganpena@yahoo.com ataupun kunjungi laman facebook kami di laman www.facebook.com/DenganPena. Semoga setiap cadangan dan teguran juga dikira sebagai amal kebajikan untuk sama-sama menyemarakkan bumi ini dengan “cahaya”.


Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mengetahui Segala Kebenaran
Salam Ukhuwah Mahabbah Fillah dari kami, Krew Penerbitan “DENGAN PENA”.
Seri Iskandar, Jamadil Akhir 1434.

Wednesday, March 13, 2013

Demi Pena

Assalamu'alaikum..

InsyaAllah, laman blog ini diadakan untuk tatapan semua. Bertujuan memaparkan koleksi Artikel dan juga menambah ruangan dan peluang untuk sama-sama berkongsi.

Ilmu Itu Cahaya.