Thursday, March 14, 2013

Isu Pertama - Kejora Antara Bintang


Kejora Di Antara Bintang


Saidina Abu Bakar As-Siddiq.


Nama Penuh:               Abdullah Bin Uthman Bin Amir Bin Ka’ab At-Taimi Al-Qurasyi

Nama sebelum Islam:   Abdul Ka’abah

Sumbangan dan jasa:    Menjadi Khalifah Ar-Rasyidin yang pertama selepas kewafatan Nabi SAW.

Satu-satunya Sahabat yang dipilih untuk menemani Nabi SAW dalam peristiwa Hijrah.

Ketika Nabi SAW berada dalam keadaan gering, Baginda menyuruh Saidina Abu Bakar untuk menjadi imam bagi solat fardhu.

Tidak pernah gagal mengikuti setiap peperangan bersama Nabi.

Anaknya, Siti Aisyah R.A. menjadi Isteri dan wanita yang dicintai Nabi.

Gelaran:                        As-Siddiq (yang membenarkan)
                                     Al-Atiq (yang dibebaskan)

Kisah mengenai Beliau:

          Lahir dua tahun beberapa bulan selepas kelahiran Nabi Muhammad SAW di Mekah. Berkulit putih, kurus, matanya cekung, badannya bongkok, rambutnya lebat dan suka mewarnakan rambutnya dengan bahan pewarna al-hinna dan katam.

          Nabi Muhammad SAW pernah berkata, “Tidak kuajak seorang pun untuk memeluk Islam melainkan dia ragu dan bimbang kecuali Abu Bakar. Dia tidak ragu dan bimbang ketika kusampaikan kepadanya.” (HR Ibnu Ishak)

        Gelaran As-Siddiq diberikan kepadanya selepas peristiwa Isra’ dan Mikraj. Setelah Nabi Muhammad SAW pulang ke Mekah, Baginda terus menuju ke Kaabah. Namun, orang pertama yang Baginda temui ialah Abu Jahal. Abu Jahal bertanyakan kepada Nabi Muhammad SAW, “Apalagi khabar yang ingin kamu sampaikan hari ini?” tanya Abu Jahal dengan niat ingin mempersendakan Nabi SAW. 

          Abu Jahal menjadi begitu gembira mendengar perkhabaran luar biasa mengenai pengalaman Isra’ dan Mikraj yang dialami oleh Nabi. “Kami mengambil masa sebulan untuk ke Syam, dan sebulan lagi untuk kembali ke Mekah, tetapi Muhammad mendakwa dia telah pergi ke Masjid Al-Aqsa di syam semalam, dan pulang ke Mekah pada awal pagi ini!” begitulah berita yang dijaja kepada seluruh penduduk Mekah.

Hinggalah pada suatu ketika, Abu Jahal bertemu dengan Saidina Abu Bakar R.A. Berita yang sama juga dikhabarkan kepada Abu Bakar dengan penuh semangat. Abu Bakar bertanya kembali, “Benarkah berita ini yang disampaikan oleh Muhammad?” Abu Jahal menjawab, “Benar, engkau boleh tanya sendiri kepadanya jika engkau tidak percaya,” jawab Abu Jahal dengan yakinnya. 

Dengan tenang Abu Bakar lantas menjawab, “Jika benar berita inilah yang disampaikan daripada Muhammad, lebih teruk daripada itu pun aku percaya. Keyakinan Saidina Abu Bakar menyebabkan kaum muslimin terpukul lalu kembali meyakini akan kebenaran Nabi SAW, malah kaum musyrikin juga terpukul kerana gagal mematahkan semangat dan keimanan para Sahabat R.A.

Ketika Nabi Muhammad SAW wafat, umat Islam menjadi goyah, bahkan Saidina Omar mengugut ingin memancung kepala mereka yang menyebarkan berita bahawa Nabi SAW telah wafat. Namun, Saidina Abu Bakar R.A. dengan tegas mengatakan, “Jika kalian menyembah Muhammad, sesungguhnya dia telahpun wafat meninggalkan kita. Tetapi, jika kalian menyembah Allah sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Hidup, tidak akan mati.”

No comments:

Post a Comment