Biografi Utusan
Terakhir - Sebelum Kelahiran
Sebelum
kelahiran insan agung, Nabi Muhammad Bin Abdullah SAW, berlaku pelbagai
peristiwa hebat. Antaranya ialah peristiwa rombongan tentera bergajah yang
ingin menghancurkan Kaabah. Rombongan tentera bergajah itu berasal dari Negeri
Yaman, terletak kira-kira 800km ke selatan Makkah dan dipimpin oleh panglima
yang bernama Abrahah.
Abrahah seorang penganut Kristian,
telah membina sebuah gereja yang hebat dan yang paling besar ketika itu,
dinamakan al-Qulais. Dia memerintahkan semua suku Arab datang mengerjakan
ibadah di gerejanya itu. Namun begitu, kemasyhuraran al-Qulais ciptaan manusia
tidak mampu menandingi kehebatan Kaabah yang dibina oleh para utusan Allah. Mendengar
perkhabaran mengenai Kaabah ini, Abrahah, lalu memimpin pasukan bergajah pergi
ke Makkah untuk menghancurkan Kaabah.
Di awal perjalanan tentera Abrahah
itu, mereka berhadapan dengan tentangan daripada pelbagai suku kaum yang ingin
menyekat niat jahat Abrahah. Namun kesemua tentangan itu dapat ditangkis dengan
mudah oleh tentera Abrahah yang hebat dan besar jumlahnya itu. Sampai di Taif,
penduduk Taif tidak berani menyekat bahkan mereka menghantar wakil untuk
menunjukkan jalan ke Kaabah.
Seorang utusan yang bernama Zu Rughal diutus untuk
menjadi penunjuk jalan. Zu Rughal akhirnya mati sebelum sampai ke Kaabah, lalu
kuburnya dijadikan tempat rejaman orang Arab yang menganggapnya sebagai
pengkhianat. Bahkan sehingga ke hari ini, nama Zu Rughal merujuk kepada orang
yang bersikap khianat.
Apabila tentera Abrahah sampai
berhampiran Kota Mekah, mereka merampas binatang-binatang ternakan orang Mekah.
Antara yang dirampas ialah 200 ekor unta milik Abdul Mutalib, datuk kepada Nabi
Muhammad Bin Abdullah SAW, yang juga merupakan ketua penduduk Mekah pada ketika
itu. Beliau pun pergi menghadap Abrahah. Apabila Abdul Mutalib masuk menghadap,
Abrahah turun dari singgahsananya lalu duduk sama aras dengan Abdul Mutalib
kerana menghormatinya. Abdul Mutalib meminta Abrahah mengembalikan unta-untanya
dan binatang-binatang ternakan yang telah dirampas oleh tentera Abrahah.
Abrahah yang terkejut dengan
permintaan itu berkata,”Kenapa engkau begitu sayangkan unta-untamu, tetapi
tidak meminta supaya Kaabah tidak diganggu?”
Abdul Mutalib menjawab, “Unta itu
kepunyaan aku, maka aku minta dibebaskan, kerana akulah tuannya. Kaabah itu ada
tuan yang menjaganya. Kaabah itu milik Allah, maka pasti Dia akan menjaganya.”
Kagum dengan perkataan Abdul Mutalib,
Abrahah mengembalikan semua binatang ternakan yang dirampas, namun tetap
meneruskan perancangannya ingin menghancurkan Kaabah. Abdul Mutalib lalu pulang
ke Mekah dan mengembalikan binatang-binatang yang dirampas serta mengajak
mereka keluar dari Mekah menuju ke bukit berhampiran. Di sanalah dengan
perasaan hiba bercampur cemas, mereka menantikan apakah yang akan dilakukan
oleh tentera Abrahah.
Pada hari yang telah dirancang,
Abrahah mula mengarahkan pasukannya untuk bergerak menuju ke Kaabah. Akan
tetapi, gajah-gajahnya tidak mahu bergerak walaupun dipukul. Gajah-gajah itu
hanya mahu bergerak jika diarah ke arah selain dari Kaabah. Sambil itu,
kelihatan di langit gumpalan seperti awan hitam.
Lama-kelamaan gumpalan itu
menjadi semakin besar. Sehinggalah kelihatan, rupanya gumpalan itu ialah burung
ababil. Setiap ekor membawa tiga ketul batu, lalu dijatuhkan ke atas
tentera-tentera Abrahah. Batu yang terkena pada tentera Abrahah itu membakar
hancur daging-daging ibarat daun yang dimakan ulat. Melihat keadaan itu,
Abrahah cuba melarikan diri namun batu tersebut mengenai badannya. Hancurlah
Abrahah bersama-sama tenteranya yang jahat lagi bongkak itu.
Orang Arab yang menyaksikan peristiwa
tersebut bertambah mengagungkan Kaabah lalu menamakan tahun tersebut sebagai
Tahun Gajah.
No comments:
Post a Comment