Fikrah dan Ideologi
Islam Liberal
Dari segi bahasa liberal bererti terbuka dan bebas. Dari segi istilah
pula, Islam Liberal ialah ideologi yang ingin menjadikan Islam ini agama yang
terbuka dan bebas. Serangan utama mereka ialah terhadap akidah umat Islam
khususnya, kerana agama Islam ini kononnya tidak selari dengan akal fikiran
mereka. Jaringan Islam Liberal (JIL), adalah antara pertubuhan yang terkenal
mendokong gagasan Islam Liberal ini. Secara ringkas, Islam Liberal ini
menggagaskan lima pendekatan utama iaitu pluralisme agama, kesamarataan gender,
Al-Quran Edisi Kritis, Hermeneutika Al-Quran dan juga sekularisme.
Pluralisme Agama:
Dalam pendekatan Pluralisme Agama,
Islam liberal mengemukakan pandangan bahawa semua agama adalah sama. Kononnya
semua agama membawa kebaikan maka tidak salah untuk berlainan agama. Berlaku di
beberapa buah negara yang mengamalkan pluralisme agama ini dalam sebuah rumah
si ayah beragama Kristian, ibu beragama Hindu, anak beragama Islam dan
seterusnya. Seolah-olah semua agama itu benar dan rakyat, di bawah Hak Asasi
Manusia berhak memilih agama yang disukai.
Kesamarataan Gender
(Feminisme):
Dalam
isu kesamarataan gender, pendokong Islam Liberal ini menjadikan wanita muslimat
sebagai kelompok sasaran mereka. Mereka mendakwa, jika menggunakan nas-nas dan
juga hukum-hakam dari Al-Quran, maka wanita akan tertindas dan hak mereka
dizalimi. Maka mereka menuntut supaya hak sama rata diberikan antara lelaki dan
perempuan. Isu yang biasa diketengahkan ialah isu talak yang hanya diberikan
hak menjatuhkan talak kepada kaum lelaki. Begitu juga hak untuk berpoligami
yang juga khusus untuk orang lelaki. Kononnya, kaum wanita juga perlu mempunyai
hak yang sama untuk menjatuhkan talak dan berpoligami.
Al-Quran Edisi Kritis
(QEK)
Melalui
isu ini, Islam Liberal mendakwa Al-Quran yang ada pada hari ini adalah Al-Quran
yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada 1400 tahun yang lampau. Maka
kononnya kebanyakan hukum sudah tidak lagi relevan untuk dilaksanakan pada hari
ini. Maka QEK ini ialah idea yang ingin dilaksanakan oleh Islam Liberal ini
dengan mengubah isi kandungan Al-Quran dan menghapuskan hukum-hukum tertentu
yang kononnya sudah tidak lagi relevan dilaksanakan.
Hermeneutika Al-Quran
Jika
QEK ingin mengubah isi kandungan Al-Quran, maka Hermeneutika Al-Quran ini
berhasrat ingin mengubah penulisan al-quran kepada bahasa ibunda negara
masing-masing, lantas mengubah makna dan orientasi pentafsiran Al-Quran
berdasarkan kondisi semasa negara-negara tertentu. Kononnya, apabila Al-Quran
dibaca dalam Bahasa Arab, bahasa asal tulisan Al-Quran, Al-Quran tidak akan
dapat difahami oleh pemikiran penduduk setempat yang berlainan kondisi dengan
negara Arab. Bahkan mereka mendakwa, Al-Quran dalam Bahasa Arab hanya sesuai
untuk orang Arab, tidak sesuai untuk orang bukan arab.
Sekularisme
Ideologi
ini sebenarnya sudah lama bertapak malah sudah ramai yang sedar dan faham.
Namun Islam Liberal masih lagi menjadikan isu ini sebagai antara senjata utama
memusnahkan pegangan Umat Islam terhadap aqidah Islam yang sebenar. Sekularisme
bererti pengasingan agama dari aspek kehidupan. Kononnya, Islam hanyalah
merujuk kepada ibadah ritual tanpa melibatkan urusan politik, ekonomi, budaya,
undang-undang, mahupun hubungan diplomatik dan kemasyarakatan. Mereka cuba
menyempitkan fahaman umat terhadap keindahan dan betapa lengkap dan sempurnanya
ajaran Islam yang turut mencakupi setiap aspek kehidupan.
Penjelasan
Sungguh, Islam Liberal ini merupakan ancama yang sangat besar dan bahaya
ke atas umat Islam. Atas nama Hak Asasi Manusia, mereka cuba meracuni pemikiran
dan akidah umat Islam supaya melonggarkan hukum-hakam dan ajaran lengkap yang
diajarkan oleh Islam. Pluralisme agama misalnya, adalah sesuatu yang tidak
boleh diterima sama sekali. Seolah-olah Tuhan itu ada banyak. Sedangkan Dialah
Allah yang telah menciptakan segala-galanya. Kisah Nabi Ibrahim yang mencabar
akal pemikiran kaumnya patut dijadikan iktibar.
Iaitu ketika Nabi Ibrahim sengaja
tidak menyertai kaumnya pergi ke pesta. Secara senyap-senyap Baginda memecahkan
semua berhala yang terdapat di rumah ibadah kaumnya kecuali sebuah berhala yang
besar dan sengaja diletakkan kapak di tangan berhala tersebut. Ketika mereka
pulang, mereka bertanyakan kepada Nabi Ibrahim, Baginda menjawab, “Saya tidak
tahu, tanyalah kepada berhala yang besar itu, bukankah ia sahaja yang tidak
hancur malah kapa di tangannya?” Jawapan ini menunjukkan bahawa sebenarnya
Islam sahajalah agama yang benar. Namun, Islam mengajar kita untuk mengamalkan
sikap toleransi. Kerana sikap toleransi inilah membolehkan kita untuk terus
hidup dalam rukun dan damai. Kita tidak boleh memaksa orang lain memeluk Islam,
kita juga tidak boleh sewenang-wenang membiarkan agama lain mendakyah umat
Islam.
Tuntutan supaya wanita juga dilayan
sama rata dengan lelaki sebenarnya adalah satu tuntutan yang sangat zalim
terhadap wanita. Ini kerana, biologi dan sains sendiri membuktikan bahawa
fizikal, emosi, intelektual wanita adalah tidak sama dengan lelaki. Jika kita
boleh terima bahawa adanya undang-undang juvana yang dikenakan kepada remaja,
kenapa tidak boleh menerima undang-undang berbeza dikenakan terhadap wanita?
Remaja berbeza dengan orang dewasa. Kadangkala, tindakan mereka bukan lahir
dari pemikiran yang waras dan matang. Maka mereka tidak boleh dihukum seperti
orang dewasa.
Wanita juga tidak boleh berpoligami
kerana jika ada anak yang lahir daripada perkahwinan yang lebih daripada satu,
maka suami yang manakah yang harus dinamakan sebagai ayah kepada anak yang
dikandung? Inilah antara kebijaksanaan Allah yang mengatur dan mencipta
segalanya.
Isu QEK dan Hermeneutika Al-Quran juga
sebenarnya berpunca daripada pemikiran bebas yang melampau. Mereka sanggup
menyanggah intipati Al-Quran sedangkan Al-Quran itu adalah kalam Allah. Jika
kalam Allah sendiri sanggup dipersendakan, apakah layak mereka menggelarkan
diri mereka sebagai seorang Islam? Al-Quran diturunkan secara berperingkat dan
disampaikan kepada kita melalui riwayat yang mutawatir. Iaitu bersumberkan
daripada riwayat yang terlampau banyak. Al-Quran yang dibaca di Malaysia pada
hari ini, adalah Al-Quran yang sama yang dibaca di England, Uzbezkistan, dan
seluruh tempat di seluruh dunia, malah sejak 1400 tahun isi kandungannya tidak
pernah berubah.
Jika diselidik dan dikaji, kita akan
dapati ribuan saintis yang memeluk Islam semata-mata kerana mereka mengkaji
kebenaran alam ini terdapat dalam Al-Quran. Maka apakah dengan kedangkalan ilmu
dan kajian yang kita lakukan, kita ingin menafikan kebenaran ilmu dan isi
kandungan yang terdapat dalam Al-Quran?
Islam
adalah ajaran yang mementingkan aspek dunia dan akhirat. Bahkan umat Islam
sejati ialah mereka yang sentiasa cemerlang dalam setiap pekerjaan.
Mengasingkan aspek keduniaan daripada Islam hanyalah akan membawa kepada
kemunduran. Lihat sahaja ketamadunan yang dicapai oleh Kesultanan Islam Melaka
pada suatu ketika dahulu, mereka gemilang dengan Islam. Bahkan ajaran dan
undang-undang dalam Islam sangat sesuai dan relevan untuk semua kaum, bangsa
malah agama.
Hari
ini, kita dapati masyarakat bukan Islam sendiri memilih untuk mengambil skim
takaful berbanding skim perlindungan insurans. Walaupun mereka belum beroleh
hidayah untuk memeluk Islam, mereka sendiri dapat berfikir secara waras dan
mendapati sistem Islam lebih praktikal berbanding sistem bukan Islam.
Setiap dakwaan dan isu yang
diketengahkan lahir daripada sikap yang terlalu memberatkan akal dan fikiran,
sedang ilmu Allah ini jauh melangkaui keupayaan akal manusia. Bumi ini berputar
dengan putaran yang ditentukan Allah. Silih pergantian malam dan siang, pasang
surut laut, angin yang bertiup, hujan panas, segalanya ditentukan oleh Allah.
Apalagi manusia, diciptakan sendiri oleh Allah.
Islam
bukanlah agama yang boleh difahami dengan akal dan logik semata-mata. Bahkan
setiap perkara ada hikmah yang tersembunyi. Semoga Allah terus melimpahkan
taufiq dan hidayahNya untuk kita semua. Semoga Dia memberikan petunjuk kepada
kita, petunjuk kepada orang-orang yang bersama dengan kita, petunjuk kepada
manusia seluruhnya, dan menjadikan kita asbab kepada petunjuk tersebut.
WaLlahu A’alam.
No comments:
Post a Comment