Thursday, March 14, 2013

Isu Pertama - Intro


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Segala puji dan puja dipanjatkan ke hadrat Allah Ta’ala, Tuhan pentadbir sekalian alam, tiada zat yang layak dipuja, disembah mahupun ditaati melainkan Dia. Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Ucapan selawat dan salam ke atas junjungan tercinta, penghulu sekalian Nabi, dan tiada Nabi selepas Baginda, Saiyidina Muhammad Bin Abdullah, RasuluLlah SAW.

AlhamduliLlah, dengan izinNya, “DENGAN PENA” akhirnya berjaya diterbitkan untuk tatapan umat Islam khususnya di kawasan Parit ini. Penerbitan makalah yang ringan ini tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan menyahut perintah “Fastabiqul Khairat” dan mengajak semua umat Islam untuk sama-sama melakukan kebaikan. Menyebarkan kebaikan walaupun dengan sebatang pena dan sehelai kertas.


Ilmu Itu Cahaya

Ilmu itu ibarat cahaya yang menjadi petunjuk kepada manusia. Kita memerlukan cahaya untuk memandu jalan dan membantu kerja-buat setiap hari. Ibarat kita berada di tempat yang gelap, kita akan menghadapi kesukaran untuk bergerak apalagi untuk berjalan. Demikianlah perumpamaan kepentingan ilmu yang menjadi cahaya. Ilmu membantu kita bergerak. Apalagi dalam dunia yang penuh mencabar ketika ini, ilmu ibarat pelita yang menerangi kehidupan.  Firman Allah:

“Allah penyelamat bagi orang-orang yang beriman, Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindung mereka ialah Thoghut(setan) yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan. Mereka (orang-orang Kafir) adalah penghuni neraka dan mereka kekal di dalamnya,” Surah Al-Baqarah, 2 : 257.

Mudah-mudahan, dengan adanya makalah ini, dapat menjadi bekal dan peringatan untuk kami terutamanya, dan juga kita semua dalam menempuhi hari-hari yang mendatang.


Cadangan dan Teguran Amat Dialu-alukan

Juga sebagai menyahut perintah “Fastabiqul Khairat” juga kami mengalu-alukan cadangan dan teguran untuk menambah-baik penerbitan “DENGAN PENA” ini. Sebarang teguran dan cadangan bolehlah disalurkan kepada meja penerbit “DENGAN PENA” melalui emel denganpena@yahoo.com ataupun kunjungi laman facebook kami di laman www.facebook.com/DenganPena. Semoga setiap cadangan dan teguran juga dikira sebagai amal kebajikan untuk sama-sama menyemarakkan bumi ini dengan “cahaya”.


Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mengetahui Segala Kebenaran
Salam Ukhuwah Mahabbah Fillah dari kami, Krew Penerbitan “DENGAN PENA”.
Seri Iskandar, Jamadil Akhir 1434.

No comments:

Post a Comment